Lexus LF-ZC Concept – bayangan sedan EV premium; IS generasi seterusnya, lawan terus Tesla Model 3?

Sama seperti kebanyakkan jenama-jenama Eropah lain, tahukah anda Lexus juga menjadikan 2030 sebagai tahun sasaran untuk menjual 100% kenderaan elektrik di benua berkenaan? Oleh itu pada Japan Mobility Show tahun ini, Lexus telah mendedahkan dua kereta konsep EV dengan ruang pameran bertemakan “memaksimakan pengalaman elektrifikasi”.

Model konsep yang anda lihat ini digelar sebagai Lexus LF-ZC (Lexus Future Zero-emission Catalyst) Concept, dihasilkan sebagai sebuah sedan premium. Oleh itu, tidak syak lagi ini adalah bayangan bagi Lexus IS generasi seterusnya dan akan digerakkan oleh unit rangkaian kuasa elektrik penuh.

Lexus mengesahkan bahawa produksi bagi model sebenarnya nanti akan bermula pada 2026. Jika IS sedia ada berhadapan dengan model seperti BMW 3 Series dan Mercedes-Benz C-Class, versi EV ini sudah tentu akan berada dalam segmen yang sama dengan Tesla Model 3.



Menurut Lexus lagi, LF-ZC ini menggunakan “bateri prismatik prestasi tinggi generasi seterusnya” yang disasarkan bagi mencapai dua kali ganda jarak gerak berbanding model-model EV konvensional yang ada dalam pasaran sekarang. Sasaran itu juga melibatkan rekaan badan yang membolehkan ia mencapai pekali geseran di bawah 0.2 Cd.

Menerusi perincian yang didedahkan, model konsep ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,750 mm, lebar 1,880 mm, dan tinggi 1,390 mm, bersama jarak roda sejauh 2,890 mm. Jadi ia adalah lebih besar dari model generasi ketiga sedia ada yang sudahpun berada dalam pasaran sejak 2013 serta menerima facelift besar kali terakhir pada 2020.

Perincian teknikal untuk model konsep ini tidak didedahkan, namun Lexus menjanjikan dinamik pemanduan bertahap tinggi, reka bentuk tanpa kompromi dan perkhidmatan eksklusif baharu, digandingkan bersama ciri ketukangan yang boleh diharapkan dari jenama mewah Jepun tersebut.

Untuk bahagian kabin, LF-ZC ini menggunakan konsep Bamboo CMF (warna, material dan kemasan akhir) yang fokus terhadap sumber sekeliling, menggandingkan material tradisional dengan usaha penjagaan alam sekitar serta kelestarian sosial.


















































The post Lexus LF-ZC Concept – bayangan sedan EV premium; IS generasi seterusnya, lawan terus Tesla Model 3? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *