Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, telah mengeluarkan kenyataan bahawa sistem pembayaran terbuka melibatkan rangkaian perkhidmatan rel di Lembah Klang dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2025.
Katanya, buat masa ini, Prasarana sedang memuktamadkan pelan pelaksanaan tersebut untuk rangkaian Rapid Rail merangkumi Laluan LRT Kelana Jaya, Laluan LRT Ampang, Laluan MRT Kajang, Laluan MRT Putrajaya dan Monorail.
“Sistem baru ini akan memperkenalkan penggunaan MyDebit dan Kad Kredit sebagai mod pembayaran tambahan di gantri selain kaedah pembayaran sedia ada menggunakan kad Touch ‘n Go atau token. Kerja-kerja rekaan dan pembangunan (design and development) dijangka bermula pada Mac 2024.
“Prasarana akan mengambil tempoh 11 bulan iaitu sehingga Februari 2025 untuk menyiapkan 50% daripada gantri di setiap stesen untuk menerima kaedah pembayaran terbuka. Menjelang Ogos 2025, semua gantri di setiap stesen akan siap,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Tambahnya, sekiranya perlu, sistem ini akan terus diperkembangkan dengan membolehkan penggunaan mod pembayaran yang lain seperti Kod QR dalam fasa pelaksanaan seterusnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) di Dewan Rakyat hari ini,
yang meminta beliau menyatakan peratusan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka dalam rangkaian pengangkutan awam Lembah Klang terutamanya rangkaian Prasarana seperti LRT, MRT dan bas Rapid KL.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengumumkan perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang bakal menawarkan mod pembayaran terbuka mulai pertengahan November 2023. Ini termasuk penggunaan kad kredit, kad debit, Touch ‘n Go dan Kod QR melalui aplikasi mobile KTMB (KITS).
The post Sistem pembayaran terbuka untuk perkhidmatan LRT, MRT dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.