Kawasaki Ninja 7 Hybrid tampil di Tokyo, kuasa 69 PS

Selepas dilancarkan untuk pasaran Eropah awal bulan lalu, Kawasaki Ninja 7 Hybrid kini membuat penampilan depan khalayak ramai di Japan Mobility Show 2023. Ia dipanggil oleh Kawasaki sebagai sebuah motosikal hibrid dengan pecutan seperti superbike 1,000 cc, dan penggunaan bahan api seperti motosikal 250 cc.

Model ini mempunyai dua sumber kuasa, dengan yang utama adalah unit enjin pembakaran dalaman dua silinder selari DOHC 451 cc, yang mampu menghasilkan 59 PS pada 10,500 rpm dan tork 43.6 Nm pada 7,500 rpm.

Ia kemudiannya dibantu oleh motor elektrik 9 kW serta bateri lithium ion 48 volt, mampu menghasilkan 12 PS antara 2,400 hingga 4,000 rpm, dan tork 36 Nm pada 2,400 rpm. Hasil gabungan dua sumber ini, Ninja 7 Hybrid keseluruhannya mampu menghamburkan 69 PS pada 10,500 rpm dan tork 60.4 Nm pada 2,800 rpm.



Daripada enjin dan motor elektrik ini, kuasa dihantar kepada roda belakang melalui transmisi yang boleh dipilih sama ada mahu menukar gear secara manual ataupun automatik. Satu yang istimewa, Ninja 7 Hybrid datang dengan “Walk Mode”, yang boleh memberi bantuan menggerakkan motosikal secara perlahan bagi memudahkan pengendalian penunggang (sebagai contoh waktu mahu meletakkan motosikal di kawasan parkir).

Perincian lain Ninja 7 Hybrid adalah termasuk berat 277 kg, tinggi tempat duduk 795 mm, brek hadapan dan belakang jenis cakera (berkembar di hadapan), panel skrin TFT serta grafik khas yang dibuat untuknya.










The post Kawasaki Ninja 7 Hybrid tampil di Tokyo, kuasa 69 PS appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *