Honda RS-X Repsol Edition 2023 tiba di M’sia – RM10k

Tahun ini Boon Siew Honda (BSH) sekali lagi melancarkan RS-X Repsol Edition, yang ditawarkan pada harga RM9,998 tidak termasuk insurans dan terhad hanya 5,000 unit seluruh Malaysia. Ia akan mula berada di wakil pengedar BSH esok.

Jika dibandingkan dengan RS-X Repsol Edition yang diperkenalkan pada tahun lepas, model tahun ini melihatkan sedikit perubahan grafik, termasuk di bahagian dada, serta tulisan Repsol di bahagian tepi yang lebih besar. Skema warna ikonik jenama ini, iaitu putih, oren dan merah masih dikekalkan.

Bahagian lain adalah sama sahaja seperti RS-X biasa, bermula dengan enjin, yang menggunakan unit suntikan bahan api satu silinder DOHC 149.16 cc, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm. Enjin hanya boleh dihidupkan dengan pemula elektrik.

Kedua-dua brek hadapan dan belakang RS-X menggunakan sistem cakera dengan angkup satu piston dan dilengkapi dengan ABS one-channel, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Rim adalah unit 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

Kelengkapan lain yang terdapat pada RS-X adalah seperti tangki bahan api 4.5 liter, meter digital dengan penunjuk kedudukan gear, lampu depan dan belakang LED, berat 122 kg dan klac jenis basah. Model ini datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.





The post Honda RS-X Repsol Edition 2023 tiba di M’sia – RM10k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *