Husqvarna Norden 901 2024 terima peningkatan ciri

Motosikal adventure Husqvarna Norden 901 diberikan peningkatan bagi model keluaran tahun 2024. Ia melibatkan tambahan beberapa ciri serta kemas kini sistem, dan diberitahu oleh pengeluar dari Sweden itu bahawa ia dapat “menawarkan prestasi serta keselamatan yang lebih baik.”

Sistem pertama yang dinaik taraf adalah Cornering Motorcycle Traction Control (MTC), di mana sekarang penunggang boleh memilih pelarasan 10 tahap gelinciran roda belakang. Walaubagaimanapun, ia cuma disediakan untuk mereka yang menambah Explorer Mode sahaja (pilihan tambahan).

Kemudiannya, beberapa lagi kelengkapan ditambah kepada motosikal ini, termasuk soket USB serta lampu kecemasan. Sistem ekzos juga telah diubah untuk menjadikan Norden 901 2024 ini mematuhi tahap emisi Euro 5+.

Bahagian lain motosikal yang mula diperkenalkan di pasaran pada tahun 2021 ini masih lagi sama, termasuk enjin yang menggunakan unit dua silinder selari bersama padanan kotak gear enam kelajuan dengan klac slipper, mampu menghasilkan 105 hp pada 8,000 rpm dan tork 100 Nm pada 6,500 rpm.

Selain empat mod tunggangan yang disediakan, Norden 901 juga datang dengan quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear, Cornering ABS, steering damper, cruise control, lampu LED serta tangki bahan api berkapasiti 19 liter.

Sebagai sebuah motosikal yang boleh digunakan untuk meredah jalan offroad, Norden 901 dipasang dengan rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dan ia dipegang oleh suspensi WP Apex yang boleh dilaras, dengan jarak gerak 220 mm di hadapan, dan 215 mm di belakang.










The post Husqvarna Norden 901 2024 terima peningkatan ciri appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *