Pengecas EV di Malaysia kini mencecah 1,430 unit – 620 lokasi, sekitar 303 unit pengecas pantas DC

Perkembangan mengenai data rangkaian pengecas kenderaan elektrik di peringkat negara yang dikendalikan oleh PlanMalaysia seperti yang ditunjukkan dalam EVM Asia Expo September lalu, telah pun beroperasi secara rasmi. Dikenali sebagai MEVnet, pangkalan data berkenaan telah pun dipaparkan secara dalam talian, dilancarkan semalam (1 November 2023) oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBD).

Pangkalan data berkenaan memaparkan topografi rangkaian pengecas EV awam yang berada di seluruh negara. Ia bertujuan untuk menyediakan maklumat berkaitan bagi pihak berkepentingan untuk pengurusan yang cekap dan titik lokasi stesen pengecasan yang berpotensi.

Selain itu, ia juga membolehkan orang ramai untuk melihat perkembangan rangkaian pengecasan awam, yang menyasarkan bakal mempunyai 10,000 unit pengecas EV di seluruh negara menjelang tahun 2025, seperti mana yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 yang diumumkan pada tahun 2021.

Menerusi pangkalan data berkenana, dilihat peningkatan jumlah pengecasan awam atau petak pengecasan kenderaan elektrik (EVCB). Buat masa ini, terdapat 1,430 unot pengecas yang beroperasi di 620 lokasi di seluruh negara, meningkat sebanyak 184 berbanding 1,246 unit yang dipaparkan pada September lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,127 unit adalah pengecas AC (naik dari 1,007 pada September), manakala pengecas pantas DC pula mencecah 303 unit (239 unit pada September). Ia juga melibatkan 567 pengecas di dalam bangunan (indoor), dan 863 unit di luar bangunan (outdoor), berbanding 500 unit indoor dan 746 outdoor.

Pangkalan data berkenaan juga memaparkan pecahan mengikut negeri, dengan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendahului angka jumlah pengecas. Buat masa ini, Kuala Lumpur memiliki 386 pengecas di 132 lokasi (AC 330, DC 56), sementara Selangor dengan 507 pengecas di 225 lokasi (AC 402, DC 105).


Klik untuk besarkan

Dengan pertambahan jumlah pengecas bermakna infrastruktur itu kini berada dalam 14.3% bagi keseluruhan pembangunan untuk mencapai sasaran 10,000 unit. Dengan 184 pengecas tambahan pada bulan sebelum ini, menunjukkan peningkatan yang signifikan untuk mencapai sasaran. Persoalannya, mampukah ia berjaya memenuhi sasaran mengikut garis masa yang ditetapkan?

Secara kebetulan, bilangan lokasi yang dikenal pasti sesuai untuk pelabur menubuhkan EVCB juga telah meningkat. Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming telah menyatakan pada bulan lalu bahawa 10,596 lokasi bersesuaian telah dikenal pasti, tetapi tetapi pangkalan data MEVnet telah memaparkan 10,789 lokasi cadangan EVCB. Daripada jumlah ini, 4,058 berada di Selangor, manakala KL dengan 1,255 lokasi.

The post Pengecas EV di Malaysia kini mencecah 1,430 unit – 620 lokasi, sekitar 303 unit pengecas pantas DC appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *