Kesalahan cermin gelap tidak akan dipenjara – Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan kerajaan tidak akan memenjarakan mana-mana pemilik kenderaan atas kesalahan menggunakan cermin gelap, laporan Harian Metro.

“Tidak timbul soal bahawa kalau salah guna cermin gelap itu akan dipenjarakan. Saya harap penjelasan ini dapat meleraikan atau memberikan satu penerangan kepada orang ramai bahawa tidaklah sampai kerajaan nak memenjarakan orang sekiranya menggunakan cermin gelap,” katanya sewaktu penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian meleraikan kekeliruan pengguna media sosial berhubung kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang sesetengahnya menggambarkan seolah-olah individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh dihukum penjara.

Jelas beliau lagi, pemilik kenderaan yang melanggar peraturan cermin gelap akan dikenakan kompaun terlebih dahulu.

“Apabila mereka diberikan peluang untuk kompaun, mereka tidak bayar kompaun, maka boleh dibawa ke mahkamah. Itu merupakan satu peraturan general (umum) yang boleh dikenakan sehingga denda termasuk tidak melebihi RM2,000 atau penjara enam bulan,” katanya.

Pada awal Oktober lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekali lagi telah mengulangi peringatan mengenai pemakaian cermin gelap bagi kenderaan persendirian seperti mana peraturan baharu yang diperkenalkan pada Mei 2019.

“Di mana peraturan baharu tersebut telah diwartakan di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (Pindaan 2019). Ia telah menetapkan bahawa Kadar Ketelusan Cahaya (VLT) bagi cermin kenderaan yang dibenarkan adalah cermin hadapan kenderaan 70%, cermin tepi sisi kiri kanan pemandu 50% dan cermin sisi bahagian belakang dan cermin belakang 0%.

“Diingatkan bahawa, pemandu atau pemunya berdaftar kenderaan yang melanggar peraturan ini adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama. Bagi sabitan berikutnya pula, denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan, atau kedua-duanya akan dikenakan,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

The post Kesalahan cermin gelap tidak akan dipenjara – Loke appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *