Hyundai Santa Fe Facelift generasi ke-empat turut dipamerkan secara eksklusif menerusi acara Premium Auto Car Expo (PACE) 2023 anjuran paultan.org yang sedang rancak berlangsung di Setia City Convention Centre, Setia Alam. Telah pun dibuka tempahannya, dan buat masa ini, harganya masih belum didedahkan. Kena tunggu pelancarannya yang dijangka berlangsung pada bulan hadapan.
Merupakan model pemasangan tempatan (CKD), tiga varian Santa Fe Facelift akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu Hybrid Plus, Hybrid Max dan Diesel Max.
Bagi varian Hybrid, kombinasi penjana kuasanya terdiri daripada enjin 1.6 liter Gamma II T-GDI petrol yang mampu menghamburkan kuasa 180 PS dan tork 265 Nm, bersama motor elektrik 44.2 kW, sekaligus memberikan keseluruhan kuasa mencecah 230 PS dan 350 Nm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam-kelajuan.
Bagi Diesel Max pula, ia diberikan enjin 2.2 liter CRDi diesel, dengan hamburan kuasa mencecah 199 hp (202 PS) dan tork 440 Nm, yang dipacukan ke empat-empat roda menerusi sistem pacuan semua-roda dan DCT basah lapan-kelajuan.
Santa Fe Facelift memiliki dimensi bersaiz 4,785 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,685 mm tinggi (1,710 mm dengan rel bumbung) dan jarak rodanya pula 2,765 mm. Bagi jarak kelegaan tanah (ground clearance), kedua-dua varian Hybrid mencecah 176 mm manakala 206 mm untuk Diesel Max.
Untuk luarannya, wajahnya tampak lebih garang dengan gril yang menyerlah, di samping lampu utama projektor bi-function LED tirus yang turut diberikan lampu nyalaan siang LED. Garisan karakter pada bahagian sisinya memang tajam dan menyerlah. Hybrid Plus diberikan roda aloi 17-inci dan tayar profil 235/65, sementara Hybrid Max dengan unit 19-inci (dan tayar 235/55). Diesel Max pula menerima roda yang lebih besar bersaiz 20-inci, dibaluti tayar 255/45.
Bahagian belakangnya diberikan lampu LED yang bersambungan menerusi palang pencahayaan. selain itu, apron bawahnya menampilkan bampar hitam dengan kemasan krom bersama corong tunggal ekzos.
Menjengah bahagian kabinnya, bentangan papan pemukanya agak ringkas, tetapi konsol tengahnya agak sarat dengan pelbagai butang kawalan. Hybrid Plus diberikan kluster instrumen LCD TFT 4.25-inci Supervision, manakala dua varian tertinggi menerima panel instrumen digital pebuh TFT LCD 12.3-inci.
Malahan Hybrid Max dan Diesel Max turut menerima ciri tambahan termasuk tempat duduk balutan kulit (Hybrid Plus dengan balutan fabrik) larasan kuasa, tailgate kuasa dan rel bumbung.
Ciri standard untuk kesemua varian termasuk skrin sesentuh lapan-inci dengan Android Auto/Apple CarPlay tanpa wayar dan pengesan suara, sistem audio enam-pembesar suara, pendingin hawa dwi-zon dengan corong AC di belakang, kamera pandangan belakang (dengan Dynamic Parking Guide), kemasukan dengan kunci pintar dan butang penghidup enjin, fungsi remote start, brek parkir elektronik, cermin pandang belakang electro-chromic dan pengecasan telefon tanpa wayar.
Untuk kelengkapan bantuan pemandu, kesemua varian Santa Fe facelift didatangkan dengan enam beg udara, ABS, ESC, bantuan mula-mendaki, kawalan brek turun bukit dan ISOFIX. Selain itu ia juga didatangkan dengan Hyundai SmartSense termasuk Kawalan Kelajuan Pintar, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Ikut Lorong, Amaran Kepekaan Pemandu, Bantuan Lampu Tinggi, Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta, Amaran Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang, Kepekaan Penumpang Belakang dan Amaran Keluar Selamat.
Bagi warna luarannya, SUV ini didatangkan dengan pilihan Snowflake White Pearl, Jet Black, Meteor Grey dan Stormy Sea.
Kalau nak tengok Santa Fe facelift yang dipamerkan secara ekskslusif ini, jangan lupa luangkan masa anda berkunjung ke PACE 2023 di Setia City Convention Centre, Setia Alam, yang sedang berlangsung sehingga esok, dari jam 9 pagi hingga 7 malam.
The post Hyundai Santa Fe Facelift dipamerkan eksklusif di PACE 2023 – CKD, 3 varian, 1.6L hibrid dan 2.2L diesel appeared first on Paul Tan’s Automotive News.