Toyota Thailand telah memperkenalkan pakej aksesori X-Urban untuk Toyota Veloz, iaitu pakej penggayaan yang akan membuatkan MPV tujuh-tempat duduk berkenaan nampak lebih lasak seperti SUV.
Komponen utama untuk pakej aksesori X-Urban ini adalah kit badan tambahan yang terdiri dari kemasan ala-skid plate pada bahagian bawah bampar hadapan dan belakang, kemasan-kemasan pelindung plastik pada sekeliling ruang roda dan bawah pintu, serta emblem Urban-X yang dilekat pada pintu tailgate belakang.
Pakej ini juga datang sekali dengan rim 17-inci dua-tona dengan rekaan jejari berbeza dari rim 17-inci Veloz biasa, lengkap dengan penutup tengah dengan logo ‘X’. Menurut Toyota Thailand, sekiranya pelanggan memilih rim baharu ini, rim standard pada Veloz tidak boleh dipulangkan.
Kit ini boleh dipadankan pada kedua-dua varian Veloz pasaran Thailand iaitu Smart dan Premium, dan dijual pada harga 39,900 baht (RM5.2k). Veloz pasaran Thailand ini dijual pada harga 795,000 baht (RM105k) untuk varian asas Smart, sehingga 875,000 baht (RM115k) untuk varian Premium.
Untuk perincian lebih lengkap berkenaan spesifikasi Veloz pasaran Thailand, anda boleh baca pada PAUTAN INI. Pembelian aksesori asli X-Urban ini akan diberikan waranti pengeluar selama tiga-tahun atau 100,000 km, yang mana sampai dahulu.
Toyota Veloz juga sudahpun dilancarkan di Malaysia pada Oktober tahun lalu, ditawarkan dalam satu varian tunggal berharga RM95,000. UMW Toyota turut menawarkan kit badan asli untuk Veloz ini yang nampak lebih elegen, dijual pada harga RM3,300.
The post Toyota Veloz X-Urban diperkenalkan di Thailand – kit badan lasak ala-SUV, harga tambahan RM5.2k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.