Proton X50 facelift 2024 dilihat sedang diuji – guna rekaan dari Geely Binyue facelift yang lebih agresif

Nampaknya tahun depan Proton bukan hanya akan melancarkan versi facelift untuk SUV segmen-C X70, dan ia akan disertai oleh adiknya yang kini sudah berada tiga tahun dalam pasaran iaitu Proton X50. Ini dia unit ujian untuk SUV segmen-B berkenaan yang sudah dilihat diuji di atas jalan raya awam.

Imej berkenaan dikongsikan oleh Zany Muhammad di laman Facebook Proton X50 Community Malaysia (PX50CM). Dapat dilihat bahagian belakang badan SUV tersebut menerima pelekat penyamaran pada pintu tailgate, bampar dan set rim menandakan bahagian yang dijangka akan menerima perubahan dari versi sedia ada.

Dan dapat dilihat unit ujian ini turut menerima spoiler belakang yang jauh lebih besar dan juga rekaan baharu pada lampu belakang. Jika dilihat dengan lebih teliti, rekaan-rekaan tersebut adalah mirip dengan kembarnya untuk pasaran China iaitu Geely Binyue facelift yang telah pun diperkenalkan tahun lalu.

Binyue facelift di China menerima rekaan yang lebih agresif serta perubahan agak besar pada bahagian hadapan dan belakang. Untuk muka, ia diberikan lampu utama baharu yang lebih nipis dan tajam, bersama gril hadapan dan gril bampar yang sangat besar dengan elemen mesh, memberikan imej seakan huruf-X persis model-model Lexus.


Geely Binyue facelift 2022 pasaran China

Manakala di belakang, lampu SUV kompak ini menampilkan rekaan yang lebih nipis, dan ia kini merentangi sepenuhnya pintu hatch belakang dengan perumah nombor pendaftaran telah dialihkan ke bawah. Bampar juga direka semula dengan lebih garang, menampilkan reflektor yang kini diposisikan menegak dan lebih tinggi pada perumah berbentuk seperti liang ambilan udara.

Empat tip ekzos pada bampar masih lagi dikekalkan, dengan diffuser yang direka semula untuk disesuaikan dengan imej baharu ini.

Geely Binyue facelift 2022 di China kini sudahpun menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder turbo berkuasa 181 hp. Namun untuk Proton X50 facelift 2024 kelak boleh dijangka ia akan masih dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder turbo berkuasa 177 PS/255 Nm.

Ini kerana Proton baru sahaja melabur sejumlah RM1.8 bilion untuk kilang enjinnya di Tanjung Malim, Perak bagi memproduksi enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder tersebut bermula tahun lalu, dan menyatakan bahawa ia akan menjadi enjin utama bagi model-model baharunya selepas ini.

The post Proton X50 facelift 2024 dilihat sedang diuji – guna rekaan dari Geely Binyue facelift yang lebih agresif appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *