Nak buat lampu hadapan ‘pop-up’ yang lulus ujian keselamatan kemalangan tidak susah – Mazda

Rekaan lampu hadapan jenis pop-up, iaitu lampu hadapan yang boleh disorok agak popular pada kereta-kereta sport sejak era 60’an sehingga 90’an. Dengan rekaan sedemikan, bahagian muncung hadapan kereta tersebut dapat direka lebih tirus, yang bukan sahaja memberikan rupa yang lebih sporty, malah ia memberikan kesan aerodinamik lebih baik.

Namun rekaan ini mula pupus pada pertengahan era 90’an. Ini kerana ketika itu kenderaan-kenderaan yang dijual dalam pasaran sudah mula serius dinilai dalam ujian keselamatan, dan antara faktor yang turut diambil berat adalah keselamatan pejalan kaki – lampu jenis pop-up ini didakwa boleh menyebabkan kecederaan lebih serius sekiranya kemalangan melibatkan pejalan kaki.

Walau bagaimanapun pada acara Japan Mobility Show 2023 yang berlangsung hujung bulan lalu, Mazda mendedahkan kereta konsep sport terbaharunya yang digelar Iconic SP, yang menampilkan semula rekaan lampu hadapan jenis pop-up!

Mazda antara pengeluar yang terkenal dengan rekaan ini, mula digunakan pada kereta sport Mazda RX-7 Savanna generasi pertama (SA22C) paa tahun 1978, dan kemudian terus digunakan pada RX-7 FC3S 1985 dan RX-7 FD3S 1992. Malah rekaan ini turut pernah diguna pada Mazda Astina dan juga satu lagi kereta sport ikoniknya iaitu model generasi pertama roadster Mazda MX-5 (NA).

Jadi masih adakah peluang untuk kita melihat rekaan lampu hadapan pop-up ini untuk model-model sport Mazda pada masa hadapan setelah ia dikembalikan pada model konsep Iconic SP ini? Menurut pengurus besar Mazda Motor Corporation Masashi Nakayama dalam laporan AutonetMagz, peluang untuk menggunakan lampu jenis pop-up ini sebenarnya terbuka luas untuk model-model Mazda untuk masa akan datang.

Menurutnya faktor undang-undang keselamatan kemalangan tersebut sebenarnya tidak menjadi masalah besar kerana ia boleh diatasi dengan pelbagai teknologi moden yang ada buat masa sekarang. Beliau menegaskan apa yang penting sekarang sama ada pengguna masih mahukan rekaan lampu hadapan sedemikian atau tidak untuk ia kembali diperkenalkan pada model-model produksi.



Mazda masih belum mengesahkan sama ada Iconic SP Concept ini akan dihasilkan dalam versi produksi atau tidak. Selain dari menampilkan pelbagai rekaan yang diinspirasikan dari model-model RX-7 sebelum ini, Iconic SP juga turut menampilkan enjin wankel rotary dua rotor yang digandingkan dengan sistem EV.

Walau bagaimanapun enjin berkenaan mungkin hanya akan bertugas sebagai enjin penambah jarak bagi mengecas bateri, manakala roda akan dipacu oleh motor elektrik seperti pada SUV Mazda MX-30 R-EV. Kereta sport konsep ini disahkan mempunyai kuasa keseluruhan 370 PS.

GALERI: Mazda Iconic SP Concept 2023










The post Nak buat lampu hadapan ‘pop-up’ yang lulus ujian keselamatan kemalangan tidak susah – Mazda appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *