Maxus eDeliver 7 dipertonton di Malaysia – van elektrik dengan kuasa 204 PS, jarak gerak sehingga 370 km

Semasa pelancaran MPV MIFA 9 semalam, selain T90 EV, Maxus turut membuat pra tonton untuk satu lagi model elektrik baru iaitu eDeliver 7. Perincian untuk van ini masih belum didedahkan, tetapi kami diberitahu, pengenalan untuk pasaran tempatan akan dibuat sewal suku pertama tahun hadapan.

Melihat kepada spesifikasi pasaran United Kingdom, eDeliver 7 menggunakan bateri berkapasiti 77 kWh, yang boleh memberikan jarak gerak sehingga 318 km (WLTP). Satu lagi pilihan yang disediakan adalah bateri 88 kWh, yang boleh memberi 370 km, tetapi jarak gerak itu bergantung kepada jenis badan, jarak roda dan tinggi bumbung. Model yang dipertonton di Malaysia ini adalah versi jarak roda dan bumbung biasa.

Kedua-dua versi bateri ini memberikan tenaga kepada motor elektrik berkuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 330 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 11.4/11.5 saat, untuk versi jarak roda dan bumbung biasa. Dalam mod Normal dan Power, laju maksimum adalah 120 km/j, sementara dalam mod Eco, ia cuma boleh mencatat laju maksimum 90 km/j.



Untuk pengecasan, eDeliver7 boleh menerima input AC maksimum sehingga 11 kW, dan mencatat masa lapan jam (77 kWh) atau 9.3 jam (88 kWh) untuk menaikkan tahap bateri dari 5% ke penuh. Apabila menggunakan sumber DC 90 kW, bateri ini boleh naik dari 20-80% dalam masa cuma 43 minit.

Sebagai sebuah van komersial, EDeliver 7 menyediakan ruang barangan 5.9 meter persegi di belakang, dengan ukuran bahagian kargo 2,547 mm tinggi, 1,800 mm lebar (1,390 mm antara lengkuk roda) dan tinggi 1,328 mm. Pintu gelungsurnya menyediakan bukaan 1,200 mm tinggi dan 990 mm lebar.

Untuk dimensi keseluruhan kenderaan, eDeliver 7 mencatat tinggi 4,998 mm, lebar 2,030 mm, tinggi 1,990 mm dan jarak roda 3,000 mm. Ukuran penting lain adalah seperti jarak kelegaan tanah 150 mm, radius pusingan 6.05 meter, kapasiti membawa barang 1,200 kg, dan berat 2,300 kg.

Kelengkapan lain yang disediakan pada eDeliver7 adalah termasuk sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 12.3 inci dengan sistem sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem masuk dan mula tanpa kunci, pendingin hawa kawalan manual, lampu utama LED automatik dengan DRL, lampu kabus depan dan belakang, rim 16 inci, enam beg udara, pengesan jarak depan dan belakang, kamera 360 darjah, ESP, Brake Assist, Hill Start Assist dan pemerhati tekanan angin tayar.

Di UK juga, eDeliver 7 datang secara standard dengan Blind Spot Monitoring, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert, Autonomous Emergency Braking, Front Collision Warning, Lane Departure Warning, Lane Keeping Assist, lampu tinggi automatik, info had laju, pemerhati pemandu serta Adaptive Cruise Control dengan fungsi stop and go.










The post Maxus eDeliver 7 dipertonton di Malaysia – van elektrik dengan kuasa 204 PS, jarak gerak sehingga 370 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *