Proton mengesahkan bahawa ia telah menerima sebanyak 400 unit tempahan untuk sedan segmen-C baharunya iaitu S70 selepas seminggu tempahan model berkenaan dibuka pada 1 November lalu.
Menurut Naib CEO Proton Roslan Abdullah dalam laporan Bernama, buat masa sekarang S70 disasarkan untuk dijual sebanyak 2,000 unit sebulan, dan ia akan ditingkatkan sekiranya permintaan dan tempahannya bertambah.
“Pada minggu pertama pelancaran ‘line-off’ (31 Okt), kita telah rekodkan 400 tempahan, pada hari yang sama juga kita telah buka tempahan dengan pembayaran deposit RM500,” katanya dan menambah jumlah tempahan dijangka bertambah selaras dengan aktiviti jelajah yang akan dilaksanakan pasukannya bagi memperkenalkan model tersebut kepada rakyat Malaysia dan pelancaran rasmi serta pengumuman harga akan diadakan dalam masa terdekat.
Proton S70 diasaskan dari sedan Geely Emgrand yang dibina menggunakan platform yang sama seperti Proton X50 iaitu B-segment Modular Architecture (BMA). Berdasarkan spesifikasi Emgrand, dimensi S70 ini adalah 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm.
Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, S70 hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar. Manakala jarak rodanya pula adalah sama sepenuhnya dengan sedan segmen-C Proton sebelum ini iaitu Proton Preve. Namun model yang dibangunkan oleh Proton ini disahkan menerima spesifikasi yang lebih tinggi dari Geely Emgrand dari segi unit rangkaian kuasa dan juga sistem bantuan keselamatan.
Ini kerana Emgrand hanya menerima enjin 1.5 liter NA dan juga kotak gear CVT, berbanding S70 yang menerima enjin 1.5L turbo PFI berkuasa 150 PS dan tork maksima 226 Nm bersama transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Menerusi slaid yang tertiris di media-media sosial, S70 bakal ditawarkan dalam empat varian berbeza, dan perinciannya anda boleh baca pada PAUTAN INI.
Model ini dijangka akan dilancarkan pada bulan ini, dan sebelum ia dilancarkan rasmi Proton akan mengadakan sesi pra-tonton di beberapa ibu negeri utama di Malaysia bermula dari 11 November 2023 bagi membolehkan pelanggan yang berminat melihatnya secara lebih dekat.
GALERI: Pilihan warna Proton S70 2023
The post Proton S70 – 400 tempahan diterima pada minggu pertama, sasaran jualan 2,000 unit sebulan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.