Sempena dengan sambutan perayaan Deepavali pada Ahad ini, Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya selama dua hari iaitu pada mulai 12.01 tengahmalam pada 11 November hingga jam 11.59 tengahmalam pada 12 November 2023.
Perkara ini diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang berkata, pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.
“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya seperti dilaporkan oleh Astro Awani.
Menurutnya lagi, pemilihan tarikh ini juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar.
Selain itu, ia juga dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya.
Kerajaan turut menjangkakan anggaran jumlah trafik dalam tempoh dua hari tersebut adalah sebanyak 11.8 juta kenderaan untuk semua lebuhraya terlibat. Justeru, anda diminta untuk merancang waktu perjalanan anda sewajarnya bagi mengurangkan risiko terperangkap dalam kesesakan trafik di lebuhraya.
The post Tol percuma pada 11-12 Nov sempena Deepavali – semua plaza tol kecuali di BSI dan Tg Kupang di Johor appeared first on Paul Tan’s Automotive News.