Selepas dilihat berlegar di Lebuhraya Kesas bulan lalu, kami sekali lagi menerima set gambar Proton X70 facelift yang diuji di jalan raya awam – kali ini disumbangkan oleh pembaca paultan.org Putra Kamrin Azran yang terserempak dengan unit prototaip ujian berkenaan yang sedang ‘memanjat’ Genting Highland.
Sejak diperkenalkan kali pertama pada Disember 2018, Proton X70 telah diberikan beberapa peningkatan, dan kali terakhir kemaskininya adalah pada model MC2 2022 tahun lalu. Walau bagaimanapun, kemaskini-kemaskini berkenaan kebanyakkannya dari segi penawaran rangkaian kuasa, tetapi sebahagian besar rupanya masih tidak berubah.
Bagi perubahan terbaharu ini, SUV segmen-C tersebut nampaknya diberikan penyegaran rupa yang lebih serius dengan mengenakan muka Geely Boyue facelift 2022. Perubahan tersebut termasuk lampu hadapan yang lebih nipis dan bersegi, fender hadapan berbeza bagi disesuaikan dengan lampu baharu, bonet hadapan yang lebih berotot dan juga bampar dengan kemasan liang udara yang nampak lebih lebar.
Malah unit ujian ini juga dilihat sudah mengenakan gril bercorak pin krom seperti elemen rekaan pada SUV segmen-D Proton X90 yang dilancarkan Mei lalu. Menurut Proton, rekaan pin krom seperti pada model-model Mercedes-Benz tersebut sebenarnya diinspirasikan dari corak kain songket warisan melayu. Sebelum ini X70 menerima gril dengan rekaan infinite weave yang diilhamkan dari corak ukiran rumah tradisional melayu.
Di belakang, ia masih menggunakan unit lampu kombinasi yang sama. Perubahan dijangka dibuat pada bampar menampilkan kemasan diffuser baharu kerana bahagian berkenaan telah ditutup sepenuhnya dengan pelekat penyamaran. Unit ujian prototaip yang dijumpai ini juga dilihat menggunakan unit rim yang sama seperti Boyue facelift 2022 di China.
Penawaran unit rangkaian kuasa mungkin sama dengan versi MC2 2022 di mana varian Standard, Executive dan Premium 2WD dijana dengan enjin 1.5 liter tiga-silider turbo dengan suntikan bahan api terus berkuasa 177 PS/255 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan.
Unit ujian yang dijumpai oleh Adam Johnston dan dimuat naik di laman X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter)
Satu-satunya varian yang pacuan semua roda adalah varian 1.5 T-GDi Executive AWD, manakala varian tertinggi 1.8 Premium 2WD pula menerima enjin 1.8 liter turbo dengan suntikan bahan api terus berkuasa 184 PS/300 Nm, diganding dengan kotak gear DCT tujuh-kelajuan.
Tidak seperti unit prototaip Proton X50 facelift yang masih dilihat dalam versi pemanduan sebelah kiri, unit ujian untuk X70 facelift ini sudah pun kelihatan hampir lengkap dalam versi pemanduan sebelah kanan. Mungkin ia akan dilancarkan sekitar suku kedua atau ketiga tahun hadapan?
The post Proton X70 <em>facelift</em> dilihat sedang diuji ‘panjat Genting Highland’ – gril songket, lampu hadapan lebih nipis appeared first on Paul Tan’s Automotive News.