KTM Komuter terima pembayaran guna kad MyDebit


Untuk pengguna perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang dan laluan Utara, kini satu lagi mod pembayaran telah diperkenalkan iaitu menggunakan kad MyDebit sama ada di gantri masuk, kaunter tiket mahu pun kios tiket.

Untuk menggunakan kad MyDebit ini, pertama, anda perlu mengaktifkan fungsi PayWave terlebih dahulu. Ia hanya perlu dilakukan sekali sahaja, dan selepas itu, anda boleh terus menggunakan kad MyDebit untuk membuat transaksi pembayaran. Sama seperti kad Touch ‘n Go, anda hanya perlu sentuh (tap) kad debit anda pada alat pengimbas di gantri sehingga bunyi ‘beep’ keluar.

Seperti pembayaran menggunakan kad debit termasuk di stesen minyak, nilai pegangan sementara (pre-auth) bernilai RM30 akan ‘dipegang’ setelah kad debit terbabit diimbas di Pintu Kawalan Automatik (ACG) berjaya mendapat pengesahan daripada bank pengeluar kad debit tersebut. Walau bagaimana pun jangan risau kerana baki pemulangan akan dikreditkan semula dalam masa satu hingga tiga hari tertakluk kepada bank pengeluar kad MyDebit.

KTMB berkata, jika nilai ‘pre-auth’ tidak dibuat, kad debit akan disenaraihitamkan dan penumpang perlu membuat pembayaran tunai di kaunter tiket stesen terbabit. Untuk makluman, ‘senarai hitam’ ini adalah oleh KTM sahaja dan kad anda masih boleh digunakan di tempat lain.

Pada akhir Oktober lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, mulai pertengahan November 2023, pengguna KTMB dapat menikmati kemudahan baru di kesemua 57 stesen KTMB Komuter di Lembah Klang. Semua stesen itu akan dilengkapi dengan alat pengimbas di gantri yang menyokong kaedah pembayaran terbuka termasuk kad kredit, kad debit, Touch ‘n Go dan Kod QR melalui KITS. Jumlah kos projek adalah sebanyak RM29 juta.

Sebelum itu, KTMB turut mengumumkan kad Komuter Link tidak lagi boleh digunakan untuk sistem pembelian tiket. Di mana kad Komuter Link baharu akan diperkenalkan pada masa hadapan, namun buat sementara waktu, pengguna perlu menggunakan aplikasi KTMB Mobile (KITS) menerusi telefon pintar untuk urusan ‘tap in and out‘ di gantri automatik stesen KTM.

The post KTM Komuter terima pembayaran guna kad MyDebit appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *