Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid telah memaklumkan sebanyak 44 laluan di Taiping akan ditutup dan dilencongkan bagi menjayakan acara Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2023 pada Ahad ini, 19 November 2023.
“Penutupan dan lencongan itu akan dilaksanakan bermula 5.15 pagi Ahad sehingga program berkenaan selesai.
“Larian itu akan bermula di Dataran Warisan Taiping dan laluan terlibat ialah Jalan Alang Ahmad/Public Bank, Jalan Manecksha, Jalan Alang Ahmad/Jalan Kota (Nafis Kitchen), Jalan Pasar/Jalan Alang Ahmad (7Eleven) dan Jalan Tamingsari (menghala ke Dataran Warisan dan IPD Taiping),” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Tambahnya, laluan lain yang turut terlibat termasuklah Jalan Ong Saik/Jalan Barrack (menghala ke pejabat pos), Jalan Lim Tee Hooi, Jalan Lim Teong Chye, Jalan Panglima Ah Chong, Jalan Chun Thye Ping, Lorong Arasarathnam (hadapan Hong Leong Bank), Jalan Yusof (sebelah Hong Leong Bank), Jalan Abdul Jalil (tepi Hospital Taiping), pintu belakang Hospital Taiping (dibuka untuk ambulans sahaja) dan lampu isyarat Jalan Stesyen/Assam Kumbang (tutup hala ke Taiping).
Ia juga membabitkan susur dari stesen minyak BHP Taman Happy Park menghala ke pasar raya Lotus, simpang Taman Zenith, Jalan Anak Bukit, lampu isyarat Hotel Sense (kenderaan dari hotel hala ke Kamunting), simpang ke Hospital Columbia Asia, Jalan Kelab Lama (Dewan Serbaguna IPD Taiping), simpang Jalan Muzium/Jalan Temenggung (TMGS), lorong Kuarters Penjara (belakang Muzium Taiping) dan lorong Kuarters Penjara sepanjang Jalan Taming Sari.
Selain itu, lampu isyarat Penjara Taiping (menghala ke Jalan Kamunting Lama sahaja), Jalan Lumba Kuda (SK(P) Treachers Methodist), Lorong SP/2, Simpang 3 Hotel Grand Baron, Simpang 3 Taman Botani dan Simpang 3 Jalan Padang Tembak juga ditutup dan dilencongkan.
Laluan lain yang terlibat juga termasuk di lampu isyarat Masjid Kamunting, lampu isyarat Hotel SSL (menghala ke Penjara Taiping), simpang masuk dan keluar kedai ECO Kamunting, lampu isyarat Bukit Mas, simpang masuk dan keluar Taman Dato Seri Razak dan simpang Jalan Kamunting Lama/Taman Lake View.
Ia turut membabitkan Simpang Jalan Kamunting Lama/Taiping Vista Hill, simpang New Club (Mess Pegawai Tentera), Dataran Kedamaian, simpang Tasik Lestari/Taman Aun Say (menghala ke Zoo Taiping), Simpang 3 Kamal Bina/Jalan Samanea Saman, hadapan Dewan Persatuan Tiong Hua (Jalan Taman Tasik), simpang keluar dan masuk KFC Jalan Taman Tasik dan Taman Tasik (belakang Nasi Kandar Beratur) juga terlibat dengan acara itu.
“Pihak polis menasihati orang ramai supaya menggunakan laluan lain sebagai jalan alternatif dan mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan.
“Pengguna yang hendak melalui jalan-jalan berkenaan juga dinasihatkan agar merancang perjalanan dan memberi kerjasama bagi mengelak sebarang kesulitan, selain memastikan kelancaran aliran trafik di kawasan itu,” katanya lagi.
The post 44 laluan di Taiping ditutup, dilencongkan pada 19 Nov sempena Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah appeared first on Paul Tan’s Automotive News.