Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan separuh daripada hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa kenderaan akan dikembalikan kepada kementerian agar pihaknya dapat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat.
Jelasnya, perkara itu mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan dan ia akan dimulakan pada tahun depan, laporan Harian Metro.
“Kementerian Kewangan telah bersetuju apa saja inisiatif kita, penjualan nombor pendaftaran istimewa ini 50% daripada hasil itu akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan untuk kita laksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat.
“Umpamanya kita nak tambah bilangan untuk mendapatkan lesen memandu B2. Ramai Ahli Parlimen minta di kawasan mereka supaya ditambah latihan. Itu diberi kepada B40, supaya dapat lesen secara percuma. Kita akan tambah tapi peruntukan itu perlu datang daripada hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa ini yang kita akan buat dalam kadar segera tahun baru akan datang,” katanya.
Perkara ini dinyatakan sewaktu menggulung perbahasan Belanjawan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat semalam.
The post Separuh hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa akan dikembalikan kepada kementerian – Loke appeared first on Paul Tan’s Automotive News.