Kementerian Pengangkutan (MoT) berkata tiada keperluan melesenkan kenderaan mikromobiliti termasuk skuter elektrik pada masa ini kerana peraturan penggunaan kenderaan itu sudah diwarta dalam Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021.
Menurut Timbalan Menterinya Datuk Hasbi Habibollah, pelesenan untuk kenderaaan mikromobiliti itu pernah disuarakan dan dibincangkan tetapi ia tidak mendapat reaksi yang baik dalam kalangan rakyat, laporan Berita Harian.
“Kita pertimbangkan keperluannya kerana ia membabitkan aktiviti melintasi jalan raya serta isu keselamatan berikutan ia digunakan di atas jalan yang mempunyai percampuran trafik dengan mod kenderaan lain.
“Memang pernah disuarakan dan dulu basikal pernah kita lesenkan… kini timbul persoalan sama ada basikal dan kenderaan mikromobiliti ini dilesenkan tetapi maklum balas rakyat tidak menggalakkan. Setakat ini, kenderaan mikromobiliti dan basikal tertakluk kepada peraturan yang kita tetapkan dalam kaedah peraturan penggunaan kenderaan itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Kenyataan beliau adalah bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang ingin mengetahui sama ada kenderaan mikromobiliti perlu dilesenkan kerana ia membabitkan aktiviti melintasi jalan raya.
Jelas beliau, MoT telah melaksanakan langkah awal dengan mengeluarkan peraturan Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu di atas jalan bagi melindungi kebajikan dan keselamatan semua pengguna jalan raya termasuk pengguna kenderaan mikromobiliti sendiri.
“Berkenaan dengan penggubalan undang-undang khusus bagi membenarkan penggunaan kenderaan mikromobiliti, adalah dimaklumkan bahawa perkara ini sudah dinyatakan dalam warta peraturan 3 (2) dalam Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021.
“Peraturan itu memperuntukkan kuasa kepada menteri untuk mengecualikan larangan itu di mana-mana jalan atau mana-mana bahagian jalan tertakluk kepada apa-apa syarat yang ditentukan.
“Dalam hal ini, pihak berkuasa yang berkenaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah membangunkan dan mewartakan infrastruktur laluan khas bagi penggunaan kenderaan mikromobiliti (seperti laluan basikal) dan mengemukakan permohonan pengecualian larangan daripada Kementerian Pengangkutan,” katanya.
Katanya, pembangunan infrastruktur (laluan khas) berkenaan hendaklah mematuhi Garis Panduan Perancangan Laluan Kenderaan Mikromobiliti yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui agensinya PlanMalaysia.
“Pembangunan infrastruktur itu juga perlu mematuhi semua elemen keselamatan serta peraturan penggunaan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya menjawab soalan asal Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai status kemajuan pindaan undang-undang membabitkan penggunaan kenderaan mikromobiliti.
Selain itu, katanya, larangan penggunaan beberapa jenis kenderaan mikromobiliti yang melebihi kelajuan 25 kilometer sejam di atas jalan raya masih dikekalkan.
Tambahnya lagi, MoT sudah melancarkan Program Medan Uji Regulatori Negara Untuk Mikromobiliti dan Hari Keselamatan Kenderaan Mikromobiliti Peringkat Kebangsaan 2023 pada 12 Mac lalu. Ia adalah hasil kerjasama strategik kementerian dengan PBT bagi penggunaan kenderaan mikromobiliti di kawasan komersil.
Di mana langkah itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebagai medan uji pertama yang dilaksanakan untuk pengoperasian kenderaan mikromobiliti.
“Pelaksanaan medan uji ini bertujuan untuk memantau kebolehlaksanaan operasi penggunaan kenderaan mikromobiliti dari segi penguatkuasaan, perlesenan dan kebolehpakaian infrastruktur berdasarkan garis panduan yang telah disediakan.
“Selain itu, ia bertujuan meneliti pembangunan dan penggunaan laluan kenderaan mikromobiliti yang dibangunkan berdasarkan kepada Garis Panduan Perancangan Laluan Kenderaan Mikromobiliti oleh pihak PlanMalaysia,” katanya.
Pada tahun lalu, MoT menetapkan larangan penggunaan tiga kenderaan jenis mikromobiliti di atas jalan raya. Tiga kategori itu termasuk moped, Personal Mobiliti Devices (PMD) iaitu skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman atau pun kuasa manusia yang mempunyai kelajuan maksimum 50 kilometer sejam serta Personal Mobiliti Aids (PMA).
The post Kenderaan mikromobiliti tidak perlu dilesenkan, kelajuan tidak lebih 25 km/j masih dikekalkan – MoT appeared first on Paul Tan’s Automotive News.