Selepas melancarkan tiga SUV yang diasaskan dari model Geely iaitu X70, X50 dan X90, tak lama lagi Proton bakal memperkenalkan sebuah model sedan dengan nama Proton S70. Ia adalah sedan segmen-C yang menggantikan tempat Proton Preve, dan model ini diasaskan dari sedan Geely Emgrand yang sudah dijual di China, Filipina dan beberapa pasaran Timur Tengah.
Seperti biasa setiap kali Proton hadir dengan model yang diasaskan dari Geely, pasti ramai yang mengkritik Proton yang seolah-olah hanya pandai menukar logo. Untuk pengetahuan anda bagi menghasilkan Proton S70 ini, Proton sebenarnya telah menggunakan sebanyak 260,000 jam bekerja untuk proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), rekaan dan kejuruteraan di Malaysia!
Menurut Proton sejumlah 453 komponen telah dihasilkan semula, di mana ia termasuk 283 komponen diproduksi oleh vendor tempatan. Ia juga menampilkan 24 komponen dihasilkan sendiri secara in-house oleh Proton dan 145 komponen knocked down (KD), dan enjinnya turut dipasang secara tempatan oleh Proton menerusi kilang enjinnya di Tanjung Malim.
Dari luar nampak sama saja Proton S70 dan Geely Emgrand ini kan? Dengan begitu banyak kerja yang dibuat, apa sebenarnya beza antara model yang dibangunkan di Malaysia ini berbanding kembarnya dari China? Berikut adalah perbezaan antara Proton S70 dan Geely Emgrand yang perlu anda ketahui.
Kerangka
Seperti yang diketahui, Proton telah “dilantik” menjadi badan kejuruteraan untuk merubah model-model Geely yang hanya dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) kepada versi pemanduan sebelah kanan. Kerja-kerja untuk merubah kerangka ini bukan semudah yang disangka dengan hanya ‘menterbalikkan lukisan CAD).
Ini kerana yang berubah hanya kedudukan pemandu, tetapi lokasi komponen lain seperti enjin dan kotak gear masih lagi sama, jadi ia akan menghasilkan keputusan ujian pelanggaran keselamatan yang berbeza. Oleh itu secara asasnya bahagian kabin kerangka badan yang diubah dari LHD ke RHD ini perlu menerima kejuruteraan semula dari Proton bagi memastikan ia dapat menghasilkan keputusan cemerlang dalam ujian pelanggaran seperti ASEAN NCAP.
Unit Rangkaian Kuasa
Ini perbezaan paling ketara antara Proton S70 dan Geely Emgrand. Di China, Emgrand hanya ditawarkan dengan enjin 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 114 PS dan tork maksima 147 Nm, bersama kotak gear CVT automatik. Sementara untuk S70 yang dibangunkan oleh Proton di Malaysia menerima enjin 1.5 liter tiga-silinder dengan pengecas turbo, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.
Oleh itu, dengan jelas Proton S70 dibekalkan dengan kuasa 36 PS/79 Nm lebih besar dari Geely Emgrand. Bukan enjin sahaja yang lebih power, penghantaran kuasa ke roda S70 juga adalah lebih responsif dibekalkan dengan kotak gear 7DCT dengan klac basah, berbanding Emgrand yang hanya menggunakan transmisi CVT.
Proton turut memberikan tiga mod pemanduan untuk enjin dan transmisi pada S70 ini iaitu Eco, Sport dan Comfort. Tapi mengapa Proton tidak menyumbat enjin 1.5L Turbo dalam versi dengan suntikan bahan api terus (T-GDI) seperti yang diberikan pada X50 Flagship ke dalam perut sedan ini? Perkara ini turut dijelaskan oleh Proton dan anda boleh baca pada PAUTAN INI.
Talaan Pengendalian dan Keselesaan
Talaan suspensi sememangnya telah menjadi kelebihan buat Proton setelah “berguru” dengan Lotus ketika ia memiliki jenama kereta sport British tersebut satu ketika dahulu. Oleh itu DNA “Proton Ride & Handling” telah disuntik kepada S70 yang lebih berkuasa dari Geely Emgrand ini.
Berbanding Emgrand yang diberikan talaan lebih berorientasikan keselesaan, S70 pula diberikan talaan bagi menjadikannya lebih dinamik untuk kawalan yang lebih baik dan pemanduan lebih tangkas, serta disesuai untuk permukaan jalan raya di Malaysia.
Namun talaan suspensi yang dibuat bukanlah ditumpukan pada prestasi pemanduan semata-mata. Ini kerana sekiranya ia diberikan penyerap hentak atau spring yang terlalu keras, ia bukan sahaja memberikan ketidakselesaan kepada penumpang, malah pemandu juga tidak dapat ‘menikmati’ pengendaliannya pada permukaan jalan raya yang tidak rata.
Oleh itu Proton turut menumpukan pada aspek keselesaan dan elegen pada talaan S70 ini supaya ia sesuai untuk kegunaan setiap hari tanpa masalah, selesa dan juga praktikal. Namun ia masih diseimbangkan dengan unsur prestasi di mana suspensi tersebut masih memberikan kestabilan yang cukup ketika sedan ini dipandu laju.
Proton turut memberikan tiga mod pemanduan untuk stereng iaitu Normal, Sport dan Comfort bagi memberikan pemanduan dan pengendalian lebih baik untuk dipilih oleh pemandu.
Bagi memuktamadkan talaan suspensi tersebut, Proton telah menggunakan masa bekerja selama 75,000 jam melibatkan ujian jalan raya sebenar di Malaysia sejauh 1.2 juta km. Proton S70 dibangunkan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Jadi ia turut menggunakan konfigurasi suspensi yang sama iaitu Topang McPherson di hadapan dan Torsion Beam di belakang.
Rupa Luaran
Proton S70 (kiri) dan Geely Emgrand (kanan)
Berbanding kerangka badan, unit rangkaian kuasa dan juga talaan suspensi yang semuanya telah menerima kejuruteraan semula dari Proton, perubahan sebelah luar yang diberikan pada S70 ini adalah sangat minimal. Pendek kata, Proton hanya memberikan gril hadapan berbeza pada model ini bagi dibezakan dari Geely Emgrand, dan perincian lain adalah masih sama.
Berbanding Emgrand yang mengenakan gril ‘Cascading Cosmos’ signatur Geely, S70 pula menerima gril yang pin krom dengan unsur warisan Melayu – kemasan berwarna perak pada bahagian bawah gril ini adalah diinspirasikan dari bentuk busur panah pahlawan Melayu, latar gril dengan rekaan Infinite Weave yang diilhamkan dari elemen ukiran rumah-rumah tradisional Melayu, manakala elemen pin krom berkenaan pula diinspirasikan dari corak kain songket.
Mungkin disebabkan hanya sedikit perubahan luaran yang dibuat oleh Proton, masih ramai yang menganggap S70 ini hanya menerima ‘Kejuruteraan Gril’ dari Proton.
Ruang Dalaman
Paparan instrumen Proton S70 (kiri) dan Geely Emgrand (kanan)
Sekali tengok bahagian dalaman S70 adalah sama seperti Geely Emgrand, namun sebenarnya Proton telah memberikan beberapa perincian yang lebih mewah pada model yang dibangunkan di Malaysia ini.
Pertama sekali, kabin S70 ini menerima lebih banyak tema warna hitam berbanding warna-warna cerah yang digunakan pada Emgrand. Ini sudah tentu lebih sesuai untuk pengguna di Malaysia kerana warna hitam adalah lebih mudah untuk dijaga, berbanding perapi-perapi berwarna cerah yang mungkin akan meninggalkan kesan kotor sekiranya disentuh tangan yang berpeluh dengan cuaca di sini yang panas.
Bagi varian Flagship dan Flagship X, S70 diberikan paparan instrumen digital. Skrin 10.3-inci yang diberikan untuk paparan ini merupakan unit yang sama seperti pada model SUV segmen-D Proton X90, dan ia adalah lebih baik dari paparan instrumen digital pada Geely Emgrand.
Ini kerana pada dua varian tertinggi ini, ia diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang memerlukan informasi sistem tersebut pada paparan ini, manakala pada Emgrand ia tidak diberikan sistem yang sama (lebih perincian berkenaan perkara ini akan di ulas di bawah).
Dengan menggunakan kotak gear berbeza, S70 juga menerima tombol gear yang berbeza dari Emgrand. Tidak seperti Emgrand yang menggunakan tombol konvensional yang perlu ditolak ke belakang dan ke hadapan untuk menukar gear P-R-N-D, S70 pula menggunakan tombol yang diambil dari X90.
Operasi tombol berkenaan agak berlainan dengan kereta lain di mana anda perlu menolaknya ke hadapan untuk gear R dan tolak ke belakang untuk gear D, manakala untuk mod manual ia perlu ditolak ke kanan untuk naik gear (+) dan ke kiri untuk turun gear (-). Gear P pula diasingkan dengan satu suis tekan yang diletak berhampiran tombol gear berkenaan.
Satu lagi yang unik untuk S70 dan tiada pada Geely Emgrand adalah perincian corak kain songket yang bukan sahaja diberikan pada papan pemuka, corak yang sama juga diberikan pada material sentuhan lembut yang dibalut pada perehat tangan pintu.
Keselamatan
Kedua-dua Proton S70 dan Geely Emgrand menerima enam-beg udara sebagai ciri standard. Namun Emgrand hanya menampilkan ciri keselamatan asas seperti sistem kestabilan elektronik, sistem pemantau tekanan angin tayar dan penderia parkir walaupun dalam varian tertinggi.
Manakala untuk Proton S70 ia turut menerima tambahan bantuan tukar lorong, dan bagi varian Flagship dan Flagship ia turut disertakan dengan kamera pemantau 360 darjah dengan paparan 3D serta ADAS dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.
Antara fungsi untuk sistem ADAS yang ada pada S70 ini termasuk brek kecemasan automatik dengan amaran perlanggaran depan, cruise control adaptif dengan Stop/Go, amaran penukaran lorong dengan penghindaran, kawalan ke tengah lorong, maklumat papan tanda trafik, kawalan lampu tinggi pintar, amaran titik buta, amaran membuka pintu, amaran perlanggaran belakang dan amaran lintasan trafik belakang.
Dengan semua perincian keselamatan ini, anda boleh lihat bahagian hadapan S70 ini penuh dengan pelbagai kamera dan penderia (kamera monokular pada bahagian atas cermin hadapan, kamera pada bahagian atas logo Proton pada gril hadapan dan sepasang penderia parkir berhampiran perumah lampu kabus), manakala Geely Emgrand seakan ‘kosong’ tanpa sebarang penderia.
Kami sudah pun berpeluang untuk memandu Proton S70 ini dalam satu sesi ringkas yang dibuat dalam litar ujian Proton di Shah Alam dua minggu lalu. Bagaimana prestasi sedan segmen-C baharu Proton ini? Anda boleh baca ulasannya pada PAUTAN INI.
Proton masih belum mengumumkan harga untuk S70 ini, dan ia dijangka akan diumumkan ketika pelancarannya tidak lama lagi. Namun dari bayangan yang diberikan, walaupun ia bakal berhadapan dengan model dalam kelas yang sama seperti Honda Civic dan Toyota Corolla Altis, S70 mungkin akan dijual dalam julat harga model-model sedan segmen-B seperti Honda City dan Toyota Vios.
Dengan kelengkapan yang dibekalkan ini, anda rasa berbaloi sekiranya Proton S70 ini dijual pada harga sekitar RM100k kelak?
GALERI: Proton S70 Flagship dan Flagship X 2023
The post Proton S70 – perbezaan dengan Geely Emgrand; ‘kulit luar’ macam sama, tapi ‘isi dalam’ banyak yang lain! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.