Kerajaan sasar pemilikan EV dan hibrid di Malaysia meningkat sebanyak 80% menjelang 2050 – Tg Zafrul

Kerajaan menyasarkan pemilikan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid di Malaysia mampu mencapai 80% menjelang tahun 2050. Justeru, untuk merealisasikan sasaran ini, kerajaan perlu melakukan usaha yang berterusan untuk membangunkan ekosistem EV, ujar Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya lagi, sasaran pemilikan EV dan hibrid adalah sebanyak 20% daripada jualan kereta baharu menjelang 2030, naik ke 50% menjelang 2040 dan seterusnya sebanyak 80% menjelang 2050, laporan Berita Harian.

Justeru, kerajaan komited sepenuhnya untuk menyokong ekosistem EV negara dan menjadikan mobiliti hijau sebahagian daripada pengangkutan arus perdana.

“Pasaran EV mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi di ASEAN terutamanya di Malaysia. Pasaran EV di ASEAN dijangka bakal mencecah AS$2.7 bilion menjelang 2027 dengan purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) industri EV sebanyak 33%.

“Justeru, adalah penting untuk Malaysia bergerak ke hadapan dan mencapai sebahagian besar daripada kadar potensi pertumbuhan EV di ASEAN, sekali gus menjadi antara pemain EV utama di rantau ini,” katanya selepas merasmikan acara E-Mobility Asia 2023 semalam.

Tambahnya, Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) yang dipengerusikannya bersama beberapa kementerian berkaitan lain juga akan terus menyusun strategi dan melaksanakan pembangunan dan ekosistem EV secara holistik.

“Walaupun ekosistem EV negara kini berada dalam keadaan baik dan bergerak ke hadapan, tetapi perjalanan masih lagi jauh untuk memastikan ekosistem yang mantap.

“Malaysia akan memerlukan anggaran sekitar RM637 bilion dalam bentuk pelaburan baharu sehingga 2050 untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui (RE). Buat masa ini, tahap semasa RE di Malaysia adalah pada 25%, semakin hampir dengan sasaran 31% menjelang 2025,” katanya lagi.

Selain itu, kataya, MITI dan agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang berusaha membawa lebih banyak pelaburan semikonduktor.

“Antara 2018 dan Jun 2023, MIDA meluluskan 59 projek bernilai RM26.2 bilion dalam EV dan ekosistem yang berkaitan untuk pemasangan kenderaan, pembuatan bahagian dan komponen pengecasan. Di mana Malaysia telah menjadi destinasi yang sangat menarik di rantau ini untuk semua pelabur EV kerana ekosistem sedia ada yang sangat kondusif untuk pembangunan EV dan komponen berkaitan,” katanya.

The post Kerajaan sasar pemilikan EV dan hibrid di Malaysia meningkat sebanyak 80% menjelang 2050 – Tg Zafrul appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *