Razlan Razali keluar dari pengurusan RNF MotoGP – didesak sebab prestasi dan keputusan kewangan teruk

Selepas banyak khabar angin yang tersebar, pasukan MotoGP CryptoDATA RNF akhirnya mengesahkan bahawa Razlan Razali telah mengambil keputusan meninggalkan bahagian pengurusan pasukan. Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan, keputusan Razlan dikatakan “telah dibuat sejak satu bulan yang lalu atas tekanan yang diberikan oleh pemegang saham berikutan prestasi dan keputusan kewangan yang teruk.”

Pasukan RNF bagaimanapun masih lagi dimiliki 60% oleh CDT Sports and Media SRL, dan 40% oleh Razlan Razali. Berita berkenaan penarikan diri Razlan ini bagaimanapun terletak di perenggan akhir siaran akhbar tersebut, sementara di atasnya terdapat pelbagai penjelasan berkaitan beberapa perkara lain pasukan itu.

Antaranya adalah pasukan mempunyai kontrak penyertaan MotoGP sehingga tahun 2026 dan tiada sebarang notis pelanggaran atau pembatalan kontrak dibuat. Kemudiannya bagi hubungan dengan Aprilia, RNF menyatakan mereka tiada sebarang hutang dan segala bayaran yang tertangguh sudah diselesaikan sejak awal tahun ini.

“Spekulasi berkenaan kualiti alat ganti untuk motosikal yang dibekalkan oleh Aprilia mempunyai kaitan dengan hutang ini adalah tidak betul,” kata RNF dalam siaran akhbarnya yang turut menyatakan segala aktiviti dibuat mengikut rancangan serta aturan kontrak dengan pembekal.

The post Razlan Razali keluar dari pengurusan RNF MotoGP – didesak sebab prestasi dan keputusan kewangan teruk appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *