Bekalan alat ganti Proton S70 cukup dengan pelbagai langkah baharu khidmat selepas jualan lebih baik

Setiap kali Proton melancarkan model baharu, pasti saja ada soalan sinis bertanyakan bagaimana dengan bekalan alat ganti. Untuk Proton S70 yang baru dilancarkan semalam, Proton menyatakan kali ini mereka lebih bersedia dengan pelbagai langkah bagi memastikan bekalan alat ganti sentiasa tersedia.

Menurut pengarah selepas jualan Proton Wan Hazran Wan Mustafa, bagi memperbaiki bekalan komponen alat ganti dan kapasiti gudang simpanannya, Proton telah membuka satu pusat alat ganti serantau di Kuching, Sarawak serta membesarkan lagi gudang alat ganti bahagian tengah Malaysia.

Malah pihaknya juga kini sudah menyelaraskan proses pesanan untuk penghantaran dari luar negara bagi mengekalkan stok lebih besar bagi komponen-komponen kritikal untuk membolehkan proses baik pulih dibuat dengan lebih cepat.

Selain dari itu, Proton juga kini telah melancarkan program Kecemerlangan Operasi Proton (POE) bagi menambah baik kebolehan pengurusan operasi pengedar-pengedarnya di seluruh negara. Program berkenaan difokuskan kepada enam bahagian iaitu prestasi, kepuasan pelanggan, pengurusan alat ganti, pengurusan pelanggan, pengurusan tenaga kerja dan pematuhan.

“Menerusi platform ini pengedar-pengedar akan dinilai bagi memberikan tahap kepuasan pelanggan terbaik. Jadi ini telah menjadi cabaran buat kami untuk memberikan komitmen terbaik kami menerusi kebolehan kami bagi mengenalpasti setiap halangan secara betul dan profesional.

“Jadi dalam hal ini suka untuk saya katakan servis selepas jualan kami kini lebih baik terutamanya berkenaan persoalan bekalan alat ganti dan setakat ini saya percaya kami tidak mempunyai masalah yang banyak untuk aspek ketersediaan alat ganti. Jadi ini komitmen kami untuk semua pelanggan Proton bahawa kami kini sedang menambah baik servis selepas jualan kami untuk menjadi yang terbaik,” tegas Wan Hazran lagi.

Tambahnya lagi program ini akan memberikan rating seperti yang digunakan seperti pada Google Rating atau sistem rating seperti yang digunakan oleh hotel-hotel, dan pengedarnya akan cuba mendapatkan rating penuh sebanyak lima bintang.

Manakala CEO Proton, Dr Li Chunrong pula menyatakan beliau memberikan KPI setahun lebih awal kepada Wan Hazran bagi membolehkan tahap servis selepas jualan Proton meningkat dengan lebih cepat. Ini kerana beliau percaya untuk menjadi jenama automotif nombor satu di Malaysia, kualiti servis selepas jualan perlu dipertingkat terlebih dahulu.

The post Bekalan alat ganti Proton S70 cukup dengan pelbagai langkah baharu khidmat selepas jualan lebih baik appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *