KKR laksana projek garisan jalan ‘glow in the dark’ di Kedah pula, diikuti dengan Johor pada tahun hadapan


Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Kedah sedang melaksanakan projek garisan jalan glow in the dark di Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang dan Durian Burung, Padang Terap.

Walau pun tidak menyatakan perincian lanjut mengenai projek berkenaan di daerah tersebut termasuk jaraknya, namun difahamkan, ia bakal menjadi garisan jalan glow in the dark yang terpanjang di Malaysia buat masa ini.

Selain itu, ia juga dikatakan menggunakan elemen additive glass beads yang berfungsi sebagai pemantul (reflector).

Hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh pula mengesahkan teknologi untuk garisan jalan glow in the dark juga akan diperkenalkan di Johor pada tahun hadapan.


Katanya, JKR akan menyenaraikan jalan raya yang bakal dinaiktaraf dengan menggunakan teknologi baharu berkenaan, laporan Harian Metro.

“JKR akan menyenaraikan dan menilai, mana satu jalan yang sesuai untuk digunakan teknologi ‘glow in the dark’ sebelum hujung tahun ini kerana bajet sebanyak RM1 juta yang diperuntukan adalah dalam Belanjawan Johor 2024,” katanya.

Tambahnya, jalan yang akan dinaik taraf menggunakan teknologi itu akan ditumpukan di kawasan yang tiada pendawaian atau tidak sesuai ada tiang elektrik, kawasan terlalu gelap, selekoh-selekoh berbahaya dan jalan yang menghubungkan antara pekan.

Beliau turut berkata, teknologi yang memantulkan cahaya pada garisan pembahagi jalan itu memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan berbanding garisan pembahagi jalan yang biasa.

Pada pertengahan bulan ini, JKR Hulu Langat telah melaksanakan projek rintis pemasangan cat garisan jalan glow in the dark di persimpangan Jalan Sungai Lalang, Semenyih. Ia merupakan lokasi pemasangan cat jalan glow in the dark yang pertama seumpamanya di Malaysia.





The post KKR laksana projek garisan jalan ‘glow in the dark’ di Kedah pula, diikuti dengan Johor pada tahun hadapan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *