Geely Manufacturing Base Xi’an — teknologi IR 4.0, tempat lahir smart #1, smart #3 termasuk untuk M’sia

Ketika Zhejiang Geely Holding Group (Geely) mengambil alih 50% pegangan dan kepentingan dari Daimler untuk menghidupkan serta merancakkan semula jenama smart pada 2019, ia menandakan era baru bagi smart yang sama sekali berbeza daripada apa yang pernah ditempuhi sebelumnya.

Sebelum itu, smart sangat dikenali sebagai sebuah jenama pengeluar berasal dari Jerman, yang sinonim dengan penghasilan kereta kompak urban dengan rekaan unik hasil kerjasama antara pereka dan pengeluar jam Swatch dan Mercedes-Benz (Daimler-Benz AG sebetulnya, sebagai syarikat pengeluar kenderaan jenama Jerman itu).

Untuk memahami DNA awal penghasilan kenderaan smart ini, ia ditanamkan dengan sangat jelas pada nama tersebut: Swatch-Mercedes-Benz-Art. Tidak kisah kalau pun nama atau makna singkatan ini hanyalah sebuah mitos yang diada-adakan kemudiannya, ia merangkum dengan cermat falsafah yang mendasari produknya untuk sekian lama. Benih inilah yang telah menjadi arah tuju dalam menghasilkan rekaan kenderaan unik yang niche tersebut, seperti yang sempat dikeluarkan dan menjadikannya terkenal sejak tahun 1998.

Kata “seni” agaknya menjadi perkara yang menuntut perhatian khusus terhadap model-model smart ketika itu: siapa yang boleh melupakan rekaan model smart ForTwo atau ForFour, misalnya? Rekaan smart sejak dulu membawa sekali aspirasi premium dalam pakej yang kecil, dengan rekaan ikonik dan sangat khusus. Tetapi, semua itu adalah sejarah. Masuknya Geely ke dalam bingkai peristiwa berkaitan smart sejak empat tahun lalu itu pula sedang menuliskan sejarahnya yang baru.

Hasil daripada kerjasama tersebut tentunya membuka lembaran baru untuk smart. Pertama, smart selepas ini hanya akan hadir sebagai kenderaan elektrik sahaja. Dan dari situ, pembahagian peranan yang selalu dicanangkan adalah dengan Daimler dari Jerman akan bertanggungjawab terhadap aspek reka bentuk luaran dan dalam model terbaru smart, manakala Geely pula akan bertanggungjawab terhadap teknologi EV dan pengeluaran model-model akan datang. Dan, tiada lagi rekaan-rekaan comel yang radikal seperti dulu.

Susulan daripada perjanjian tersebut, Geely memberi komitmen untuk membuka sebuah kilang pengeluaran baru khusus untuk teknologi kenderaan generasi baru smart EV. Dan, sejak 20 Julai 2021, kemudahan yang dikenali sebagai Pusat Pengeluaran Geely (Geely Manufacturing Base) yang terletak di Xi’an, China mula beroperasi. Hujung September lalu kami berpeluang berkunjung ke kilang berkenaan untuk memahami kemampuan pengeluaran kenderaan smart di sana.

Berdiri di atas kawasan seluas 2,260 ekar dengan melibatkan pelaburan sebanyak RMB 7.8 bilion, kilang Geely di Xi’an ini menempatkan teknologi revolusi industri 4.0 yang canggih dan memuatkan empat bengkel utama — tempaan (stamping), kimpalan, mengecat dan juga pemasangan — dengan sebahagian besar daripadanya dikendalikan secara automatik oleh robot. Kilang ini menjadi projek terbesar Geely, baik bagi keluasan kawasan dan juga pelaburan keseluruhannya, serta kelengkapan teknologi yang paling canggih, setakat ini.

Dalam kapasiti maksimumnya, kilang ini mempunyai kemampuan pengeluaran 60 unit sejam, dengan purata pengeluaran sebuah kereta dalam seminit, atau 1,000 unit sehari untuk jumlah maksimum operasinya. Kapasiti pengeluaran maksimumnya dalam setahun adalah sebanyak 300,000 unit.

Ia juga mampu mengendalikan pemasangan bagi tiga platform kenderaan yang berbeza dalam satu masa, dengan enam bahagian atas kenderaan yang berlainan. Ketika kunjungan kami, kilang berkenaan sedang menjalankan pemasangan bagi tiga model semasa, iaitu smart #1, smart #3 dan juga Geely Xingyue, yang menjadi model pertama yang dipasang sejak memulakan operasi pada 2021 — semuanya berjalan serentak dalam masa yang sama.

Satu lagi kecanggihan di kilang berkenaan adalah kendalian automatik bagi sebahagian besar operasinya. Terdapat sejumlah 800 robot yang membantu di dalam kilang tersebut, misalnya bagi kerja-kerja menyusun dan memindahkan bahagian kenderaan, terutama bahagian-bahagian bersaiz kecil. Menariknya, dalam keadaan gelap pun sistem robotik yang ada ini masih boleh berfungsi. Bahagian tempaan pula dijalankan secara automatik sepenuhnya. Disebabkan operasi pengilangan automatik ini jugalah tenaga kerja manusia yang boleh dilihat sewaktu operasi di kilang tersebut hanya sedikit.

Antara faktor utama yang akan mempengaruhi tempoh pengeluaran sesebuah kereta pula adalah kemampuan kemudahan mengecat badan kenderaan. Bayangkan situasi ini: pelanggan menempah warna badan kenderaan yang berbeza-beza, serta dalam corak pasaran kebelakangan ini, ada pula penawaran yang melibatkan pilihan dua tona warna, yang berbeza antara bahagian bumbung dan badan kereta. Semua ini akan memberi kesan kepada tempoh pengeluaran, dan selalu melibatkan kos tambahan yang tinggi.

Adakah kilang Geely di Xi’an ini mempunyai penyelesaian untuk mengatasi masalah tersebut? Jawapannya, ya. Kemudahan ini terdiri daripada sistem dengan 12 saluran mengecat, yang mana lima daripadanya adalah saluran ‘penukaran pantas’. Lima saluran khas ini membolehkan penukaran warna dengan pantas dan fleksibel untuk kumpulan pengeluaran dalam jumlah yang lebih kecil.

Ini membolehkannya melayani permintaan untuk pilihan warna khusus — misalnya dua tona warna dengan bumbung hitam yang warna badannya berbeza — dengan lebih cepat tanpa mengganggu proses pengeluaran sedia ada. Sistem ini menurut Geely merupakan satu pendekatan yang sangat penting dan mampu membantu mereka untuk memendekkan tempoh pengeluaran bagi bahagian yang melibatkan kerja-kerja mengecat.

Selain itu, kilang ini juga memiliki litar ujian sendiri. Dengan jarak keseluruhan 3.2 km (yang terpanjang di China), ia melibatkan 10 kemudahan ujian berbeza yang dijalankan secara dalaman oleh Geely untuk setiap model kenderaan yang dikeluarkan dari situ. Antarnya ialah litar untuk pecutan 120 km/j dengan laluan lurus sejauh 1.2 km, ujian kedalaman air serta simulasi untuk hujan lebat dengan tekanan air 0.5 bar secara berterusan selama enam minit. Semua ini ada tersedia sebagai kemudahan ujian dalaman.

Lebih penting lagi, kilang Geely di Xi’an ini juga diiktiraf sebagai “Zero Carbon Factory”, yang bermaksud keseluruhan operasi pengeluarannya adalah menggunakan kaedah mesra alam untuk mencapai neutraliti karbon. Sebagai tambahan, kilang ini mempunyai kawasan hijau dengan keluasan 296,550 meter persegi. Ia juga dilengkapi dengan sistem janaan kuasa super photovoltaic dengan kapasiti 51-megawatt, yang menjana dan menghasilkan sebanyak 53.76 juta kWh elektrik setahun.

Kesan daripada semua ini adalah pengurangan emisi yang setara dengan penanaman semula 3,196 hektar hutan setiap tahun. Dalam masa mendatang, 55% kuasa elektrik yang dihasilkan oleh kilang ini juga akan dibekalkan semua kepada bekalan kuasa tempatan untuk dimanfaatkan oleh kawasan sekitar. Selain itu, sisa air industri dari kilang akan menjalani tiga tingkat perawatan, dengan kadar penggunaan semula air dari sisa berkenaan mencapai 44%.

smart #1 yang bakal dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia juga datang dari kilang Geely di Xi’an ini. Begitu juga dengan smart #3, yang dijangka turut akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan nanti.

Walaupun pemasangan dan teknologi EV dikendalikan oleh Geely, semua kualiti dan standard pengeluaran dipastikan untuk berada setaraf dengan apa yang dipraktikkan oleh Mercedes-Benz sebagai jenama kenderaan premium, pasaran di mana smart akan ditempatkan, termasuk dalam pasaran Malaysia.















The post Geely Manufacturing Base Xi’an — teknologi IR 4.0, tempat lahir smart #1, smart #3 termasuk untuk M’sia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *